Assalamualaikum w. B. T dan selamat sejahtera, hari ini saya ingin berkongsi pengalaman perkongsian pintar bersama guru-guru dari wilayah Satun Thailand. Perkongsian pintar di bawah program semarak Bahasa Melayu di wilayah Satun, Thailand  ini telah berlangsung pada 4-6 Hb Januari 2019. Program ini merupakan sub program daripada Ziarah  Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke Wilayah Satun  Thailand. Sehubungan dengan itu, Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis (IPGKPs) telah diminta untuk menyediakan Program Pembelajaran Bahasa Melayu di Jareeyatam Islam Foundation School, Chalung, Satun. Pada waktu ini saya masih lagi menuntut  di IPGKPs sebagai mahasiswa semester akhir. Program ini, merupakan program khas Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai lanjutan kepada usaha Tuanku bagi memartabatkan bahasa Melayu di Wilayah Selatan Thailand.

Antara objektif utama program ini termasuklah memberikan khidmat kepakaran dalam penggunaan bahasa Melayu standard kepada guru-guru sekolah agama di wilayah Satun. Selain itu, objektif lainnya adalah untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu guru-guru di sana dan seterusnya menjalinkan kerjasama pintar peringkat antarabangsa antara guru-guru dan pentadbir sekolah di Wilayah Satun dengan IPGKPs. Selaras dengan itu, pihak IPGKPs menyediakan tenaga pengajar yang terdiri daripada 5 orang pensyarah Unit  Pengajian Melayu Jabatan Bahasa dan 2 orang pelajar untuk sesi perkongsian pengajaran bahasa Melayu kepada guru-guru sekolah agama di Wilayah Satun. Tentatif program adalah seperti berikut :-



GAMBAR SEKITAR PELAKSANAAN PROGRAM

Perbincangan tentang pelaksanaan program


Membincangkan pengisian Program Semarak Bahasa Melayu bersama pihak pentadbir dan guru Bahasa Melayu. Oleh kerana hanya terdapat dua orang guru bahasa Melayu di sekolah ini, pihak pengurusan mencadangkan pengisian program ini lebih dikhususkan kepada pedagogi pengajaran dan pembelajaran Abad ke-21 dengan memberi penekanan kepada penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan peserta.

Taklimat Program dan Sesi Taaruf / Ice Breaking


Program ini dikendalikan oleh En. Yusuf bin Min, saya sendiri dan Encik Ahmad Zulhilmi bin Ahmad Zaini. Program dimulakan dengan memperkenal diri masing-masing dan membuat aktiviti “Apple-Swan”.

Konsep dan Prinsip Pengajaran Pembelajaran BM Abad Ke-21


Sesi ini bertujuan untuk memberi pendedahan secara umum pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu Abad Ke-21. Guru-guru didedahkan dengan konsep dan prinsip pengajaran abad ke-21. Antara prinsip utama yang difokuskan ialah bagaimana pembelajaran murid berlaku sesuai dengan peredaran zaman. Sesi ini dilaksanakan oleh EN. Nizam

Tunjukcara Pengajaran Pembelajan Bahasa Melayu Abad Ke-21



Pada sesi ini, guru-guru didedahkan dengan contoh pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu Abad Ke-21. Bermula daripada Induksi Set sehinggalah kepada penutup pengajaran pembelajaran. Di dalam Induksi set peserta didedahkan dengan teknik untuk mengaitkan pengalaman sedia ada dengan pembelajaran baharu. Semasa pelaksanaan pengajaran, guru-guru didedahkan dengan beberapa aplikasi smartphone yang dijadikan sebagai aktiviti pengajaran pembelajaran, seperti plickers.com. Sesi ini dilaksanakan oleh saya sendiri.

ICT dalam Pengajaran Abad Ke-21


Pada sesi sebelah petang, guru-guru didedahkan dengan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Tunjukcara dibuat oleh pelatih pemenang Anugerah Pingat Emas Inovasi, Karnival Inovasi Pedagogi IPGK Perlis, yang juga mrupakan sahabat saya Ahmad Zulhilmi bin Ahmad Zaini.

Rumusan Program


En. Sazali bin Saidin membuat rumusan tentang perkara-perkara penting / prinsip utama dalam pengajaran dan pembelajaran khususnya di era “Education 4.0”. Guru bukan lagi sumber maklumat yang dominan. Oleh itu guru perlu untuk menyesuaikan diri dengan kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran Abad Ke-21 yang menjadikan murid sebagai fokus utama dalam pengajaran. Guru mesti mendahulukan bagaimana murid belajar BUKAN bagaimana guru mengajar.  Ini kerana, guru mengajar adalah ditentukan oleh bagaimana murid belajar pada era mereka.

Majlis Penutup


Semua peserta diminta berada di masjid untuk majlis penutup dan penyampaian hadiah. Majlis diserikan lagi dengan Seminar Ummatan Wahidah oleh SS Dato’ Arif Perkara Prof. Madya Dr. Mohd. Asri bin Zainal Abidin, Mufri Negeri Perlis. 

Pada keseluruhannya program Semarak Bahasa Melayu memang mendapat sambutan daripada guru-guru Jareeyatam Islam Foundation School, Chalung, Satun. Diharapkan perkongsian pengalaman dari program ini, dapat memberikan sedikit sebanyak idea dan cadangan untuk guru-guru lain melaksanakan lebih banyak program seperti ini. Sebarang pertanyaan ataupun komen untuk penambahbaikan program pada masa akan datang adalah amat digalakan. 

"PENDIDIKAN MERINTIS PERUBAHAN"
ANAS BIN ARSHAD



Post a Comment

Terbaru Lebih lama