"Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.- Buya Hamka"

Kata mutiara dari buya Hamka sememangnya menggambarkan bahawa cinta itu teras dalam dalam hidup manusia yang menghembuskan kekuatan baik dari lahiriah mahupun batiniah, bahkan wujudnya insan itu juga hasil dari cinta dari sang ibu dan sang ayah yang disatu atas ikatan perkahwinan.

Di zaman milenial ini, mungkin cinta yang diaturkan atau "dipaksa" oleh keluarga sudah kurang atau bahkan tidak ada sama sekali. Ramai anak muda pada hari ini mempunyai kebebasan untuk memilih cinta hati masing-masing mengikut selera dan cita rasa mereka. persoalannya,apakah kriteria asas yang ditetapkan oleh seseorang individu itu dalam memilih pasangan hidup yang ingin dikongsikan cinta kepada mereka?

penting untuk seseorang individu tersebut untuk mengenali terlebih dahulu diri mereka dan cara mereka beradaptasi dengan bakal pasangan mereka kelak agar mereka dapat memilih pasangan yang secocok dengan mereka. Untuk itu, hari ini saya ingin berkongsi berkenaan 6 gaya bercinta yang diinterpretasi dari Inventori Gaya Bercinta (IGB) oleh Profesor Doktor Sidek Mohd Noah.

Di dalam inventori ini, djelaskan tentang 6 gaya bercinta yang berbeza tiap satunya dan menjelaskan trait-trait berkaitan setiap satu dari gaya tersebut. Antara gaya bercinta yang dimaksudkan adalah Eros (Romantis), Ludus (Permainan), Storage (Persahabatan), Pragma (logikal), Mania (Posesif) dan yang terakhir Agape (Pengorbanan).

Gaya Bercinta EROS (Romantis)


Gaya percintaan ini merujuk kepada cinta yang wujud hasil daripada tarikan fizikal yang
sangat kuat pada pertemuan pertama. Mereka yang memiliki gaya ini mahukan penyatuan dan perpaduan dalam hubungan cinta. Mereka ini seboleh-bolehnya inginkan satu identiti dengan pasangannya, contohnya dalam berpakaian dan mempunyai selera makan yang sama. Selalunya tarikan sosial yang menyebabkan pengamal gaya ini tertarik untuk membentuk hubungan. Pengamal gaya percintaan ini memandang cinta sebagai sesuatu yang sangat tinggi nilainya.

Gaya Bercinta LUDUS (Permainan)


Mereka yang mengamalkan gaya bercinta jenis ini cuba untuk mengurangkan pergantungan dan tanggungjawabnya. Mereka selalunya mempunyai lebih daripada satu pasangan cinta dalam sesuatu sama. Ini adalah kerana dengan adanya dua atau lebih kekasih serentak lebih senang baginya melepaskan tanggungjawab kepada kedua-dua kekasihnya tadi. Mereka yang mengamalkan gaya ini juga selalunya tidak serius dalam bercinta dan tidak mendalam perasaan cintanya, sebeliknya mereka suka memainkan perasaan atau pun membiarkan pasangannya tertanya-tanya apakah perasaan mereka  sebenarnya dan berapa dalamkah penglibatan cinta mereka itu. Pengamal gaya ini juga tidak mempunyai rancangan jangka panjang dalam hubungan cinta, lebih suka  membuathubungan secara mendadak dan tidak teratur. Dengan ini hubungan mereka jarang sekali mesra terutama daripada segi emosi dengan pasangannya. Ini disebabkan mereka lebih suka bebas dan tidak mahu kebebasannya diganggu oleh sesiapa sahaja termasuklah pasangannya sendiri.

Gaya Bercinta STORAGE (Persahabatan)


Gaya ini adalah hasil daripada persahabatan. Cinta pada pengamalnya tidak wujud secara mendadak, tetapi timbul secara perlahan-lahan. Kadang-kadang orang yang bercinta tidak menyedari yang mereka sudah lama dalam percintaan. Selalunya orang yang memiliki gaya ini akan mempunyai minat yang sama dengan pasangannya. Mereka juga tidak berkeupayaan untuk menyintai seseorang tanpa dikenali secara mendalam dalam jangka masa yang panjang. Sebaliknya mereka akan mengenali pasangan itu dahulu sebelum wujudnya perasaan cinta.

Gaya Bercinta PRAGMA (Logikal)


Gaya logikal merujuk kepada gaya bercinta yang mana individu yang terlibat cuba mencari pasangan yang terbaik untuknya. Ia akan menetapkan ciri-ciri khusus dan cuba mencari pasangan yang sesuai dengan atau mengikut ciri-ciri khusus tersebut. Sekiranya pasangan yang sesuai telah ditemui, sebarang kemungkinan untuk berpisah selalunya akan dibuat pertimbangan terlebih dahulu. Pengamal gaya ini juga sabar menangguh hubungan cintanya sehingga mereka betul-betul merasakan individu yang ditemui itu memenuhi kriteria yang dikehendakinya.

Gaya Bercinta MANIA (Posesif)


Gaya ini merujuk kepada pengamal yang memiliki sifat cemburu kerana mementingkan ingin bersama setiap masa. Ia tidak suka kepada perpisahan dan semua aktiviti mahu dilakukan bersama. Individu ini menjadi beban kepada orang lain kerana ia sangat mementingkan keperluan diri sendiri. Mereka juga sangat kuat dengan perasaan ingin mengawal, mengongkong dan memiliki dan pada masa yang sama juga mahu merasa dimiliki oleh pasangannya. Oleh itu mereka ini sentiasa mencurigai kejujuran dan keutuhan cinta pasangan masing-masing

Gaya Bercinta AGAPE (Pengorbanan)


Gaya pengorbanan merujuk kepada mereka yang suka membantu, amat memahami dan pemaaf. Gaya bercinta ini terlau ekstrim menyebabkan individu terlalu penyabar terhadap objek yang dicintainya. Pengorbanan ini menyebabkan pemikirannya terbatas. Pengamal gaya bercinta ini juga bersikap terbuka kerana ia boleh menerima cinta daripada orang yang berbeza-beza personalitinya. Pengamal gaya percintaan ini akan memberikan cinta dan kasih sayang dengan rela hati tanpa sebarang syarat kepada pasangannya. Pengamal gaya percintaan ini juga sanggup melakukan apa sahaja asalkan orang mereka cintai itu bahagia dan selesa, bahkan mereka rela mengenepikan cita-cita atau pun kehendak dirinya sendiri asalkan pasangan mereka berjaya mendapatkan apa yang dikehendakinya.

Penerangan diatas merupakan gaya bercinta menurut Inventori Gaya Bercinta. Inventori gaya bercinta ini, mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi dengan skala alpha cronbach di antara 0.59-0.77 (Cheong Ching Ching, 2001). bagi para pembaca yang ingin menjawab inventori ini secara atas talian saya sertakan pautan seperti berikut. Para pembaca hanya perlu menekan pautan tersebut. Ujian Inventori Gaya Bercinta

Setelah mendapatkan gaya bercinta masing-masing, adalah amat dialu-alukan untuk berkongsi gaya bercinta para pembaca diruangan komen. Diskusi dan perbincangan kritis juga dipersilakan. Anda juga boleh mendapatkan penerangan lanjut dengan berjumpa kaunselor anda. Namun diingatkan, apapun gaya bercinta kita, jangan sesekali kita lupa bahawa cinta yang paling agung dan cinta yang perlu kita kejar adalah cinta kepada kepada Tuhan. Tidak dilupa juga cinta kepada keluarga serta orang yang bermakna buat kita. Moga dengan perkongsian ini para pembaca dapat menemukan cinta sebenar yang dicari.

"PENDIDIKAN MERINTIS PERUBAHAN"
               ANAS BIN ARSHAD





3 Ulasan

  1. wowww menarik. saya utamanya adalah seorang EROS,kemudian sekunder adalah MANIA dan POSESIF. From my past experience, truly i am hahaha

    BalasPadam
    Balasan
    1. wahh seorang yang romantis, dan sedikit clingy hehe

      Padam
  2. yeah romantic and clingy are the right words to describe me.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama