PROGRAM SARAPAN PERCUMA KEPADA SEMUA MURID SEKOLAH RENDAH BERMULA JANUARI TAHUN HADAPAN
Bermula januari tahun hadapan Program Sarapan Percuma (PSP) akan dilaksanakan di sekolah rendah seluruh negara. Dr. Maszlee Malik yang juga merupakan Menteri Pendidikan Malaysia mengesahkan perkara berikut di persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini. Menurut beliau, program ini akan dilaksanakan menggunakan dua mekanisme yang mana mekanisme pertama ialah pengoperasian PSP selama 30 minit menggunakan kombinasi menu utama dalam bentuk makanan bermasak dan menu buah-buahan manakala mekanisme kedua pula ialah pengoperasian PSP selama 10 minit menggunakan kombinasi menu minuman produk tenusu seperti minuman berkhasiat dan menu makanan ringkas berkonsepkan sedia dimakan seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih dan telur rebus.
Tujuan utama program ini adalah untuk menyediakan makanan berkhasiat yang mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran mereka. Program ini akan bermula seawal jam 7 pagi hingga 8.30 pagi (sekolah sesi pagi) dan di antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang bagi sekolah sesi petang. PSP ini akan dilaksanakan menggunakan kaedah pengurusan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sedia ada dan sarapan ini nanti akan disediakan oleh pengendali kantin di setiap sekolah terlibat.
Sememangnya program ini akan memberikan banyak manfaat khususnya kepada murid-murid sekolah rendah kerana melalui program ini murid-murid akan dibekalkan dengan makanan yang berkhasiat secara percuma. Ini kerana, Dr. Maszlee Malik berkata senarai menu PSP akan dibangunkan bersama-sama dengan kepakaran pihak Kementerian Kesihatan dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi memenuhi khasiat yang diperlukan oleh murid. Menerusi perkara ini, ibu bapa tidak perlu bimbang berkaitan dengan kesihatan dan kebersihan makanan yang disediakan. Di samping itu, pelaksanaan program ini juga dapat mengurangkan beban ibu bapa dari aspek kewangan dan juga masa untuk menyediakan sarapan kepada anak-anak mereka. Ibu bapa yang berkerjaya misalnya ada yang tidak sempat menyediakan sarapan yang baik kepada anak-anak atas faktor kekangan masa.
Program PSP ini turut membantu dalam proses perkembangan fizikal dan psikologikal murid-murid dengan baik. Ini kerana, pembentukan fizikal serta psikologikal yang baik turut dipengaruhi oleh faktor pemakanan yang diambil. Menurut Cik Nazatul Najmi Binti Zulkafle yang merupakan Catering Dietitian di bawah KBR Group untuk Real School, Cheras mengatakan murid yang mengambil sarapan yang baik akan lebih mudah memahami proses pembelajaran berbanding murid yang tidak mengambil sarapan. Hal ini kerana menurut beliau, dengan pengambilan serat dan karbohidrat yang baik semasa sarapan akan membekalkan tenaga yang diperlukan untuk otak.
Jelaslah program PSP ini amat baik dan memberikan manfaat kepada murid-murid. Oleh kerana itu, penulis menyokong pelaksanaan program ini di sekolah rendah. Diharapkan pembentukan fizikal dan psikologikal yang baik hasil dari program ini, mampu melahirkan murid-murid yang berdaya saing baik di peringkat lokal mahupun global.
"PENDIDIKAN MERINTIS PERUBAHAN"
ANAS BIN ARSHAD
Catat Ulasan