Sebelum membahas berkenaan dengan personaliti, elok rasanya kita fahami apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan frasa personaliti ini. Personaliti berasal dari perkataan Latin yang membawa maksud persona. Perkataan persona membawa erti topeng muka iaitu topeng yang digunakan oleh pelakon-pelakon teater Yunani di atas pentas. Perkataan persona tersebut kemudiannya berubah menjadi gambaran sosial yang diterima oleh individu dalam kelompok masyarakat (Koswara,1991). Dalam psikologi, personaliti ditakrifkan pula sebagai himpunan pola emosi, pemikiran dan perlakuan yang unik dalam diri seseorang. Bahkan personaliti juga berkait rapat dengan tindak-tanduk seseorang seseorang yang ingin menzahirkan ciri- ciri kawalan emosi dan pemikiran. Personaliti amat sukar untuk diterjemahkan secara langsung kerana ia berbeza-beza mengikut individu.

Pada hari ini, personaliti yang akan dibincangkan adalah menerusi sudut pandang Inventori Personaliti Sidek (IPS) yang dipelopori oleh Professor Madya Dr. Sidek Mohd Noah. IPS adalah satu alat ukuran yang bertujuan untuk mengukur atau mengenal pasti trait-trait atau ciri-ciri personaliti  seseorang individu. Soalan-soalan IPS terdiri daripada soalan-soalan dengan jawapan terhad iaitu ‘Ya’ atau ‘Tidak’ dan mengandunigi 160 soalan, IPS ini menerangkan 15 ciri trait personaliti Agresif, Analitikal, Autonomi, Bersandar, Ekstrovert, Intelektual, Introvert, Kepelbagaian, Ketahanan, Kritik Diri, Mengawal, Menolong, Sokongan, Struktur dan Pencapaian. Di samping itu, terdapat satu skala khas untuk mengukur kejujuran individu menjawab inventori tersebut. Jadi tanpa membuang masa ayuh kita bincangkan personaliti-personaliti individu berdasarkan skor IPS tersebut.

TRAIT PERSONALITI AGRESIF

Individu  yang agresif merupakan individu yang suka mengkritik orang lain. Dalam kebanyakan hal, hati dan perasaan  orang lain bukanlah merupakan tumpuan dan perhatian utamanya, yang penting ialah hajat dan matlamatnya tercapai. Lawan bagi trait agresif adalah pasif. Dalam kebanyakan hal individu yang pasif sering membenarkan orang lain untuk memanipulasi diri dan perasaannya. Ditengah-tengah antara trait agresif dan pasif pula ada trait yang dikenali sebagai trait asertif. Trait asertif ini menunjukan bahawa seseorang individu tersebut mempunyai ketegasan diri.  Dalam kebanyakan hal, individu selalunya menuntut haknya tetapi pada masa yang sama, hati dan perasaan orang lain turut dijaga.

TRAIT PERSONALITI ANALITIKAL

Individu yang mempunyai trait personaliti analitikal yang tinggi akan menunjukkan tingkah laku seorang yang sensitif kepada persekitaran. Individu seperti ini juga suka menganalisis orang lain, diri sendiri mahupun situasi.  Individu ini juga suka membuat pemerhatian, penyelidikan dan analisis terhadap sesuatu perkara. Bagi individu yang mempunyai trait analitikal yang rendah pula akan menunjukkan tingkah laku seorang yang kurang atau tidak berminat dengan perkara-perkara yang memerlukan anda membuat analisis. Individu ini adalah seorang yang praktikal dan ketika berinteraksi dengan orang lain, individu tidak cuba membaca yang tersirat

TRAIT PERSONALITI AUTONOMI

Individu yang mempunyai trait personaliti autonomi yang tinggi cenderung sukakan kebebasan sepenuhnya dalam segala tindakan serta dapat mengawal dan menentukan aktiviti-aktiviti seharian. Individu yang seperti ini juga sering berasa tidak selesa apabila bekerja dalam satu organisasi yang mempunyai peraturan yang ketat. personaliti autonomi yang rendah pula akan menunjukkan individu lebih suka menerima arahan orang lain dan struktur sosial yang memerlukan keakuran.

TRAIT PERSONALITI BERSANDAR

Trait personaliti ini menggambarkan individu yang suka bergantung kepada orang lain. Dalam membuat sesuatu keputusan, individu yang mempunyai skor trait personaliti bersandar yang tinggi ini selalunya mengharapkan pendapat dan nasihat daripada orang lain terutama individu yang mempunyai autoriti.  Individu ini juga selalu meminta orang lain menunjukkan arah yang harus ia tuju. Berlawanan pula dengan individu yang mempunyai trait personaliti bersandar yang rendah kerana mereka merupakan seorang yang suka berdikari. Dalam membuat sesuatu keputusan dan melakukan sesuatu aktiviti, individu selalunya tidak bergantung kepada orang lain.

TRAIT PERSONALITI EKSTROVERT

Individu yang mendapat skor dalam trait ini menunjukkan individu merupakan seorang yang sosial. Di samping itu,  individu suka berinteraksi dan dikelilingi oleh orang ramai di samping merasa tidak selesa duduk bersendirian. Lawan dari trait ini adalah Introvert. Trait personaliti introvert menunjukkan individu adalah seorang yang kurang atau tidak sosial. Selain itu, individu selalu mengelak untuk berinteraksi dalam kumpulan besar dan lebih selesa berada dalam kumpulan kecil. Individu lebih selesa berada dalam suasana kerja bersendirian atau satu-sama-satu.

TRAIT PERSONALITI INTELEKTUAL

Individu yang mempunyai skor trait intelektual yang tinggi cenderung sukakan aktiviti yang memberi cabaran daripada segi intelektual.  Bahkan, individu merasa puas dengan aktiviti-aktiviti keilmuan tetapi tidak puas dengan aktiviti-aktiviti yang berulang-ulang. Manakala, bagi individu yang mempunyai trait intelektual yang rendah akan menunjukkan tingkah laku tidak selesa dengan perkara-perkara yang bersifat teoritikal.  Individu ini juga lebih berminat dan selesa dengan kerja-kerja yang berstruktur, praktikal, dan pragmatik. Kerja yang dipilih selalunya adalah kerja-kerja berkemahiran.

TRAIT PERSONALITI INTROVERT

Seperti yang dijelaskan di atas, trait personaliti introvert menunjukkan individu yang tidak sosial dan suka mengelak situasi-situasi yang memaksanya bekomunikasi. Individu lebih selesa dengan setting kerja bersendirian atau satu-sama-satu. lawan bagi trait ini adalah ekstrovert.

TRAIT PERSONALIRI KEPELBAGAIAN

Bagi individu yang mempunyai trait personaliti kepelbagaian yang tinggi, individu tersebut dapat menghayati situasi-situasi yang dapat memberikannya peluang untuk pengalaman-pengalaman baru. Di samping itu, individu ini juga suka kepada perubahan dan selalunya suka mencuba sesuatu yang baru dan individu ini adalah seorang yang adventures. Manakala Individu yang mempunyai trait personaliti kepelbagaian yang rendah akan menunjukkan kecenderungan untuk sukakan situasi-situasi pekerjaan yang stabil dan selamat Bahkan individu ini tidak selesa dengan situasi-situasi dan pengalaman-pengalaman baru.

TRAIT PERSONALITI KETAHANAN

Bagi individu yang mempunyai trait personaliti ketahanan yang tinggi akan menunjukkan ketahanan yang tinggi dari segi fizikal, mental dan emosi.  Individu ini akan menghabiskan semua tugas-tugas yang telah dimulakan dan  tidak akan berhenti separuh jalan. Individu ini juga sangat bermotivasi dalam melakukan sesuatu. Sebaliknya bagi individu yang mempunyai ketahanan yang rendah akan mudah mengenepikan sesuatu perkara jika dirasakan tidak bernilai. Individu ini juga cepat bosan dan lebih mendapat kepuasan dari kerja-kerja kreatif atau yang berkaitan dengan orang ramai.

TRAIT PERSONALITI KRITIK-DIRI

individu yang mempunyai trait kritik diri yang tinggi menunjukkan individu yang bermasalah. Skor yang tinggi ini selalunya dikaitkan dengan individu yang selalu merasa rendah diri, bimbang, rasa bersalah terhadap apa yang telah dilakukan atau tidak percaya yang ia telah mencapai sesuatu dengan jayanya. Kecenderungan individu seperti ini untuk melakukan sesuatu perkara yang boleh mencederakan diri sendiri adalah tinggi. Individu yang mendapat Skor 40% hingga 60% dalam ujian IPS biasanya dikaitkan dengan individu yang stabil daripada segi emosi dan psikologinya. Skor 50% adalah skor yang terbaik. Skor rendah pula dikaitkan dengan individu yang menganggap dirinya sentiasa betul dan yang tidak betul adalah orang lain.

TRAIT PERSONALITI MENGAWAL

Trait personaliti mengawal yang tinggi  menunjukkan individu yang suka mengawal dan memimpin orang lain. Individu tersebut juga lebih suka memimpin daripada dipimpin. Selalunya individu ini akan memilih kerjaya yang berkaitan dengan kepemimpinan seperti pengurus, pentadbir awam, peguam, pegawai tentera, ahli politik dan lain-lain. Skor trait mengawal yang rendah pula menunjukkan individu lebih selesa dipimpin daripada memimpin.  Kerjaya utama yang berkaitan ialah setiausaha, pramugari, akauntan, ahli kimia, ahli fizik, ahli biologi dan lain-lain.

TRAIT PERSONALITI MENOLONG

Individu yang mempunyai trait personaliti menolong yang tinggi akan menunjukkan tingkah laku dan keinginan untuk mencurahkan simpati, kasih sayang, memberi bantuan serta membuat kebaikan dan kebajikan kepada orang lain Skor yang rendah pula menunjukkan individu tidak suka terlibat secara emosi dengan orang lain Bahkan individu lebih memfokuskan kepada diri sendiri.

TRAIT PERSONALITI SOKONGAN

Trait personaliti ini menunjukkan bahawa individu cenderung untuk mempunyai keinginan untuk dikasihi, difahami dan mendapat simpati. Selain itu, trait ini turut menunjukkan individu adalah seorang yang sangat mementingkan diri. Individu yang mempunyai trait sokongan yang rendah pula menunjukkan individu tidak suka bergantung secara emosi kepada orang lain.

TRAIT PERSONALITI STRUKTUR

Individu yang mempunyai trait struktur yang tinggi  merupakan individu yang suka kepada perkara-perkara berstruktur, rutin, dan terperinci.  Individu lebih gemarkan kepada aktiviti atau kerja-kerja yang memerlukan kekemasan, peraturan, ketelitian dan berulang-ulang. Manakala, bagi yang mempunyai trait personaliti struktur yang rendah akan menunjukkan individu lebih suka kepada aktiviti-aktiviti yang tidak berstruktur dan tidak berulang-ulang.

TRAIT PERSONALITI PENCAPAIAN

Individu yang mempunyai trait pencapaian yang tinggi adalah seorang yang bermotivasi tinggi dan suka bersaing dalam mencapai sesuatu matlamat. Selalunya individu ini sangat kompetetif dan akan berusaha keras dalam mencapai matlamatnya. Bagi individu yang mempunyai trait personaliti pencapaian yang rendah pula akan menunjukkan motivasi yang rendah dan tidak begitu kisah tentang peranan status dan kuasa dalam kerjayanya.

Berdasarkan dari trait personaliti di atas, para pembaca boleh meneka trait personaliti dominan masing-masing. Namun untuk mengetahui dengan lebih tepat, bolehlah mengambil ujian IPS ini. Ini kerana, kebolehpercayaan serta kesahan IPS adalah tinggi. Link untuk menjawab serta mentaksir IPS disertakan di bawah :)



"PENDIDIKAN MERINTIS PERUBAHAN"
ANAS BIN ARSHAD














     

Post a Comment

Terbaru Lebih lama