1.0 Pendahuluan

Penyalahgunaan dadah merupakan kebimbangan kesihatan global dan isu yang dihadapi oleh semua negara di dunia (United World Nation Drug Report, 2011, seperti yang dipetik dalam Hine, 2011). Isu penyalahgunaan dadah merupakan masalah kesihatan yang bukan sahaja memberi impak kepada penyalahguna dadah tetapi juga keluarga, rakan-rakan dan masyarakat secara keseluruhannya. Merawat masalah ketagihan dadah bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan bantuan daripada bidang profesional seperti ahli perubatan, ahli psikoterapi, kaunselor dan lain-lain. Terdapat beberapa model intervensi psikologi berasaskan bukti yang dapat digunakan dalam merawat masalah ketagihan dadah. Antara intervensi yang biasa digunakan dalam merawat ketagihan dadah adalah Motivational Interviewing (MI) dan Cognitive Behavior Therapy (CBT).

MI pertama kali diterangkan oleh Profesor William R. Miller, Ph.D., dalam isu “Psikoterapi Tingkah Laku” pada tahun 1983 (Generes, 2024). MI ialah rawatan psikologi yang bertujuan membantu individu mengurangkan atau berhenti menggunakan dadah dan alkohol (Smedslund et al, 2011). MI adalah kaedah semi terarah yang berpusatkan kepada klien untuk meningkatkan motivasi intrinsik untuk perubahan dengan meneroka dan menyelesaikan ambivalen (Smedslund et al, 2011). Teknik ini mengubah tingkah laku ambivalens ini sering digunakan untuk ketagihan kerana kekurangan motivasi untuk berhenti boleh menjadi salah satu halangan terbesar bagi individu yang bergelut dengan ketagihan walaupun mengakibatkan individu tersebut mengalami masalah kesihatan dan kewangan, sosial dan undang-undang. Menurut Iarussi & Melanie (2020), empat prinsip utama digariskan dalam pendekatan ini adalah menghargai autonomi, mengatasi ambivalens, dan meningkatkan kepercayaan diri seseorang dalam keupayaan mereka untuk berubah.

CBT merupakan salah satu pendekatan yang mendapat banyak minat dalam kalangan penyelidik dan kekal sebagai salah satu pendekatan yang digemari dalam merawat ketagihan dadah. CBT merupakan jenis terapi berorientasikan matlamat yang menangani isu kognitif seperti pemikiran automatik yang disfungsi, pemikiran maladaftif atau herotan kognitif dan kepercayaan teras yang mendasari. CBT menekankan perubahan pemikiran negatif untuk mengubah tingkah laku serta membangun dan mengimplementasi kemahiran menangani yang sihat dalam kehidupan seseorang individu (Webster, 2024). Menurut Magiil et al. Dalam Alghamdi (2023), CBT merupakan pendekatan rawatan kolaboratif, berstruktur, membina kemahiran dalam masa terhad yang melibatkan beberapa peringkat dan penggunaan teknik khusus untuk mengubah pemikiran dan tingkah laku. CBT berusaha untuk mengubah pemikiran negatif dan pola tingkah laku yang tidak sihat dengan menggunakan kaedah seperti Cognitive restructuring dan pendedahan.

2.0 Persamaan Antara Motivational Interviewing Dan Cognitive Behavior Therapy

Terdapat banyak persamaan antara dari kedua strategi yang digariskan oleh terapi ini antaranya ialah fokus berorientasikan masalah, perancangan rawatan, latihan kemahiran dan penstrukturan kognitif serta pengaktifan tingkah laku.

            2.1 Fokus Berorientasikan Masalah

Salah satu persamaan dari strategi MI dan CBT adalah kedua terapi ini adalah fokus berorientasikan masalah (Problem Focused Oriented). Hal ini adalah kerana, kedua-dua MI dan CBT mengenalpasti isu utama dan menjadikannya sebagai panduan untuk melaksanakan sesi kaunseling (Chen et al., 2021). Dalam konteks strategi MI dan CBT menghadapi klien ketagihan dadah, seseorang yang mengalami masalah dadah mungkin menghadapi ambivalens tentang kesediaan ataupun tahap perubahan yang mereka akan capai semasa sesi kaunseling ataupun distorsi pemikiran yang mengakibatkan mereka memilih tingkah laku yang maladaptif.

Oleh kerana itu, dalam MI, seorang ahli terapi atau kaunselor akan membantu mereka mengenali dan meneroka rasa ambivalens mereka, dan dalam CBT, individu individu akan belajar untuk mengenal pasti dan menangani pemikiran negatif yang mendorong penggunaan dadah (Randall & McNeil, 2017). Ini membuktikan bahawa kedua-dua MI dan CBT memfokuskan pada masalah utama klien dan menggunakan isu ini sebagai garis panduan dalam proses kaunseling, walaupun pendekatan yang berbeza digunakan.

2.2 Perancangan Rawatan

Dalam rawatan penyalahgunaan dadah, perancangan rawatan adalah komponen penting dalam MI dan CBT. Antara persamaan yang dapat dilihat menerusi perancangan rawatan dari MI dan CBT adalah setelah proses membina hubungan terapeutik selesai, individu dan kaunselor akan bekerjasama untuk menetapkan matlamat yang boleh dicapai untuk pemulihan daripada penyalahgunaan dadah. Menurut Haikal (2022), klien dan kaunselor perlu bekerjasama untuk mencapai matlamat pemulihan. Untuk mencapai perkara ini, kaunselor dan klien harus terbuka dan jujur. Menurut Miller & Rollnick (2023), keterbukaan dan kejujuran merupakan perkara yang amat penting dalam sesi kaunseling kerana ia merupakan kunci pelaksanaan sesi kaunseling yang berkesan

            Di samping itu, menurut Sulaiman et al. (2021), bagi membantu individu mencapai matlamat yang lebih mendalam, kaunselor boleh menggunakan teknik mendengar aktif, refleksi, dan pertanyaan terbuka. Pembentukan matlamat akan membantu mengemudi perancangan rawatan dalam kedua-dua pendekatan ini

2.3 Latihan Kemahiran

Kedua-dua MI dan CBT turut menggunakan elemen pembinaan kemahiran untuk membantu klien menangani masalah penyalahgunaan dadah mereka. Kaunselor yang melaksanakan sesi kaunseling menggunakan MI akan membantu klien mempelajari cara mencari dan menangani ketidak setujuan mereka terhadap perubahan (Hettema et al., 2005). Kaunselor juga memupuk keinginan dan keyakinan dalam diri untuk mengubah dan mengatasi masalah penyalahgunaan dadah. Sebagai contoh, klien mempelajari cara untuk mengelak daripada rakan sebaya yang mungkin membawa kepada tingkah laku negatif terhadap mereka dan mendorong penyalahgunaan dadah.

            Begitu juga bagi Terapi CBT, kaunselor CBT akan membantu klien  dalam membina kemahiran  mengenal pasti dan mengubah tingkah laku, perasaan dan pemikiran yang tidak produktif yang menyumbang kepada masalah penyalahgunaan dadah. Hal ini kerana, menurut Lundahl et al. (2010), pemikiran negatif dan corak tingkah laku yang tidak sihat sering dikaitkan dengan punca masalah individu dari perspektif CBT. Pemikiran Negatif adalah salah satu punca masalah yang biasa dilihat oleh CBT. Individu mungkin mempunyai kecenderungan untuk mempunyai pemikiran negatif tentang diri mereka sendiri, persekitaran mereka dan masa depan mereka. Pemikiran ini boleh menyebabkan kebimbangan, kesedihan, atau kemarahan yang berterusan (Haikal, 2022).

            CBT mengajar orang ramai untuk mencari dan mengubah pemikiran negatif, dan corak tingkah laku yang tidak sihat untuk mengubah emosi dan tingkah laku mereka ke arah yang lebih baik. Kaunselor juga mengajar klien strategi tingkah laku untuk mengelakkan keadaan yang menyebabkan keinginan untuk menggunakan dadah. Contohnya, klien mungkin mempelajari teknik untuk mengenal pasti dan mengubah pemikiran negatif yang mendorong mereka untuk menggunakan dadah, serta kaedah untuk mengelak daripada tempat atau aktiviti yang memicu keinginan untuk menggunakan dadah.

            Oleh itu, walaupun kaedah yang berbeza digunakan, kedua-dua MI dan CBT menggabungkan elemen pembinaan kemahiran untuk membantu klien menangani penyalahgunaan dadah mereka dengan lebih berkesan.

2.4 Pengaktifan Tingkah Laku

Mi dan CBT kedua-duanya boleh menggunakan komponen pengaktifan tingkah laku untuk mendorong klien ketagihan dadah untuk terlibat dalam aktiviti alternatif dan sihat yang membantu mereka pulih daripada penyalahgunaan dadah dan mengurangkan penggunaan bahan. Fokus tingkah laku ini membantu klien mengembangkan tabiat dan rutin yang membantu pemulihan mereka (Utami, 2022). Kaunselor MI mungkin membantu klien mencari minat atau hobi baru untuk menggantikan masa yang mereka habiskan untuk penyalahgunaan dadah. Contohnya, seseorang yang pernah menghabiskan masa dengan menyalahgunakan dadah boleh digalakkan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti luar yang sihat, seperti berjalan atau berbasikal, atau menceburi diri dalam aktiviti kreatif.

            Dalam terapi CBT pula, kaunselor mungkin meminta klien menyertai aktiviti yang menyenangkan dan bermanfaat. Seseorang yang bergantung kepada dadah, contohnya, boleh diminta untuk mengambil bahagian dalam kelas seni, sukan, atau aktiviti sukarela untuk mengalihkan perhatian mereka daripada keinginan untuk menggunakan dadah kepada aktiviti yang lebih bermanfaat dan sihat (Juniarti et al., 2024). Pengaktifan tingkah laku membolehkan orang yang mengalami masalah penyalahgunaan dadah mengisi masa lapang mereka dengan perkara yang membantu mereka pulih dan mengekalkan kestabilan sepanjang proses pemulihan mereka.

3.0 Perbezaan Antara Motivational Interviewing Dan Cognitive Behavior Therapy

Walaupun MI dan CBT mempunyai beberapa persamaan namun tidak dinafikan bahawa terdapat juga perbezaan bagi kedua strategi ini. Perbezaan ini dapat dilihat menerusi fokus strategi, matlamat terapi, dan peranan kaunselor.

3.1 Fokus Strategi

Fokus strategi Terapi Kognitif Tingkahlaku adalah bertujuan untuk memperbaiki pola pikir (kognitif) dan perilaku seseorang. Pendekatan Terapi Kognitif Tingkahlaku adalah berfokuskan hubungan antara masalah iaitu pemikiran dan tingkah laku. Terapi Kognitif Tingkahlaku bertujuan untuk membantu individu mengenal pasti dan mengubah pola pemikiran negatif atau tidak sihat yang mungkin menyebabkan masalah emosi atau tingkah laku yang merugikan. (Beck, 2011) Contohnya seseorang individu yang mempunyai fikir bahawa pengambilan dadah mampu memberinya tenaga yang lebih untuk bekerja dadah adalah segalanya.

                       Manakala, fokus strategi Motivational Interviewing (MI) adalah pendekatan terapeutik yang berfokus strategi pada meningkatkan motivasi individu untuk melakukan perubahan positif dalam hidup mereka. MI digunakan secara meluas dalam bidang kaunseling, psikoterapi, penjagaan kesihatan, dan bidang lain yang berkaitan dengan perubahan tingkah laku. (Miller & Rollnick, 2013) Pendekatan MI adalah berpusatkan klien yang bertujuan untuk membantu individu meneroka dan menyelesaikan ambivalensi dalam kehidupan. Sebagai contoh, MI didapati berkesan dalam menangani isu penyalahgunaan bahan dengan meningkatkan motivasi untuk berubah.

3.2 Matlamat Terapi

Terapi Tingkah Laku Kognitif memberi tumpuan kepada pemikiran individu, mengenal pasti distorsi kognitif dan mengubah pola pemikiran negatif yang menyumbang kepada masalah psikologi. Secara tidak langsung mengubah pemikiran negatif individu dapat mengubah tingkahlaku tidak sihat dan menggalakkan kesedaran kepada perubahan ke arah yang lebih positif. Sebagai contoh kaunselor akan mengenalpasti faktor kognitif yang menyebabkan berlaku relaps kepada bekas penagih.

Di sebaliknya,  MI berpusat berfokus kepada meningkatkan motivasi intrinsik dan komitmen untuk individu berubah. MI membantu individu untuk mengenal pasti dan meningkatkan keinginan serta keyakinan untuk membuat perubahan positif dalam hidup mereka. Selain MI bertujuan meningkat motivasi, MI juga dapat membina kepastian, meningkatkan kesedaran, membina hubungan positif, menggalakkan pilihan dan membina kekuatan dalaman diri klien untuk berubah. (Arkowitz, et. el., 2008) Sebagai contoh kaunselor akan membantu klien mencari kekuatan diri dan kelebihan diri penagih untuk bermotivasi untuk pulih dalam ketagihan dadah yang teruk.

3.3 Peranan Kaunselor

Dalam Terapi Tingkah Laku Kognitif, kaunselor berperanan sebagai pengajar yang membantu individu mengubah pemikiran negatif dan tingkah laku yang tidak sihat. Kaunselor akan membantu klien dalam pembelajaran dan latihan untuk membantu individu mengubah pola pemikiran dan tingkah laku yang tidak sihat. Dengan itu, kaunselor akan menggunakan teknik dalam sesi kaunseling bagi menggalakkan kesedaran tentang pemikiran negatif yang menyebabkan individu bermasalah. Sebagai contoh kaunselor menggunakan terknik tugasan untuk melatih pengguna dadah untuk mengurangkan kebergantungan dadah dalam rutinnya bagi mengelakkan kesan penggunaan terlebih dos.

Peranan kaunselor dalam mempraktikkan MI adalah berdasarkan prinsip kerjasama, kebangkitan dan autonomi. Ahli terapi bekerjasama dengan klien untuk membangkitkan motivasi intrinsik mereka untuk perubahan dengan meneroka nilai dan matlamat mereka. Sebagai contoh, dalam sesi kaunseling menggunakan MI, ahli terapi mungkin bertanya soalan terbuka untuk membantu klien menyatakan sebab mereka ingin membuat perubahan. (Carroll et al., 2004) Sebagai contoh, kaunselor akan memainkan peranan untuk membantu dan mengenalpasti motivasi klien untuk membina kerjaya selepas tamat di pusat pemulihan rawatan dadah.

4.0 Kesimpulan

Secara kesimpulannya, MI dan CBT merupakan strategi yang digunakan secara meluas dalam membantu mengurangkan dan menghentikan masalah ketagihan dadah. MI merupakan pendekatan terapeutik yang berfokus pada meningkatkan motivasi individu untuk melakukan perubahan positif dengan menggunakan ambivalens individu sebagai pencetus kepada perubahan. CBT berusaha untuk mengubah pemikiran negatif dan pola tingkah laku yang tidak sihat dengan menggunakan kaedah seperti Cognitive restructuring dan pendedahan. Kedua strategi ini mempunyai persamaan dan perbezaan dalam pelaksanaan rawatan terhadap klien penagih dadah. Antara persamaan dari kedua strategi ini adalah fokus berorientasikan masalah, perancangan rawatan, latihan kemahiran dan penstrukturan kognitif serta pengaktifan tingkah laku. Manakala perbezaan antara MI dan CBT dapat dilihat dari aspek fokus strategi, matlamat terapi dan peranan kaunselor. 

 

1 Ulasan

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama